"Wahai
Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan anak
pinak kami, penyejuk mata kami, dan jadikanlah kami penghulu bagi
orang-orang bertaqwa."
Ya. Penyejuk mata. Suatu perkara yang tidak pernah kita lupa untuk
pohon setiap kali kita menadah tangan berdoa. Kenapa Allah Ta'ala suruh
kita minta penyejuk mata? Sebabnya, itulah yang bakal menjamin
ketenangan dan kebahagiaan kita dalam kehidupan nanti.
Bagaimana kalau nantinya ada isteri, tetapi seringkali menyakitkan
hati kita, raut wajahnya langsung tidak mendamaikan kita, tingkah
lakunya ada sahaja yang tidak kena di mata kita. Adakah kita akan
bahagia? Bagaimana pula kalau nantinya ada anak. Comel-comel belaka, tetapi
wujudnya mereka begitu menyusahkan kita, sikap mereka kerapkali
melukakan hati kita, kedegilan mereka selalu sahaja membuatkan kita
hilang sabar dan sakit hati sentiasa. Adakah kita beroleh ketenangan?
Tentu sekali tidak.
Lantas, kita dianjurkan supaya berdoa. Minta supaya Allah beri
pasangan yang mendamaikan hati dan perasaan kita, serta zuriat yang
boleh menjadi penyejuk mata kita. Mudah-mudahan, Allah makbulkan doa dan
permintaan kita.
Suatu lontaran untuk para wanita hari ini, khususnya yang belum berumahtangga. Sedarkah anda, bahawa bakal teman hidup anda setiap hari berdoa
supaya anda menjadi penyejuk mata mereka? Sedarkah anda, bahawa mereka
tidak pernah melupakan anda dalam setiap doa mereka? Tidak. Saya tidak maksudkan anda mengenali mereka atau mereka mengenali anda.
Tetapi hakikatnya, mereka mendoakan anda yang bakal hadir dalam hidup
mereka suatu ketika nanti. Sayangnya, anda mungkin terlupa lantaran
anda tidak kenal siapa mereka. Kerana itu juga, anda kurang mengambil
berat tentang persediaan anda untuk menjadi penyejuk mata mereka. Penyejuk mata?
Sungguh, ia bukan tugas yang mudah. Kalau anda fikir ia akan berhasil
dengan anda berhias diri, memakai wangian dan berbaju cantik di hadapan
mereka setiap hari, sesungguhnya anda silap sama sekali. Anda harus
sedar, ramai sekali golongan cantik dan menawan di luar sana yang gagal
untuk menjadi penyejuk mata kepada suami mereka. Bahkan sebahagian besar
dari mereka berakhir dengan perceraian. Semoga dijauhkan Allah.
Menjadi penyejuk mata suami, prosesnya bermula hari ini.
Tilik kembali diri anda. Zahiriah dan batiniah. Kedua-duanya. Pertama sekali, bagaimana hubungan anda dengan Allah?
Solat wajib dan sunat. Bacaan al-Quran. Zikir munajat. Selawat serta
amalan-amalan yang lain. Berapa peratus yang telah anda capai dan
lakukan secara istiqamah? Tahukah anda, faktor paling besar yang
menentukan samada anda berjaya atau tidak menjadi penyejuk mata suami
adalah; cemerlang atau tidak hubungan anda dengan Allah? Justeru,
perbaiki dari sekarang.
Kedua, sikap dan perangai.
Carilah seorang kawan yang jujur dan yang anda kira agak rapat serta
kenal dengan anda. Sekiranya anda yakin akan kejujurannya, minta
pandangannya tentang diri anda, terutama tentang sikap dan perangai.
Jika anda dapati diri anda masih dibelenggu sikap meninggi diri, degil,
ego yang tinggi, kurang rasa hormat pada orang, suka mengumpat, pemalas
dan seribu satu sikap negatif yang lain, maka perkara pertama yang wajib
anda buat adalah ; kikis sedaya upaya semua sikap tersebut dari terus
melekat dalam diri anda. Percayalah, ia antara faktor yang bakal
menggagalkan anda dari menjadi penyejuk mata suami.
Ketiga, lihat balik luaran diri anda. Khususnya pemakaian. Sempurnakah anda dalam menutup aurat?
Jika masih selesa bertudung ringkas, berbaju t-shirt lengan sekerat dan
berseluar jeans separa ketat, maka percayalah anda bakal bertemu
kegagalan. Itupun sekiranya anda mempunyai hasrat untuk bergelar
penyejuk mata suami.
Tidak, ini bukan soal suami anda islamik atau tidak, mengambil berat semua perkara itu atau tidak. Ia adalah soal Si Pemberi Ketenangan, iaitu Allah. Kalau Dia tak bagi, siapa lagi yang boleh bagi? Mudahnya begini. Doa itu kan permintaan kita dengan Allah. Contohnya,
kita minta supaya Allah terangkan hati kita supaya mudah belajar.
Tetapi kita tidak berhenti dari tabiat suka minum arak. Mana mungkin
Allah akan berikan ketenangan itu pada hati kita yang gelap?
Sama juga. Suami minta pada Allah, berikan dia penyejuk mata supaya
dia beroleh tenang dalam hidup. Tetapi kita pula melazimi maksiat dan
penderhakaan kepada Allah. Aurat kita terdedah setiap hari. Akhlak kita
langsung tiada ciri isteri mithali. Hubungan kita dengan Allah lompong
di sana sini. Lantas, adakah kita layak untuk menduduki tempat 'penyejuk
mata' tersebut? Bagaimana pula kita yang jauh dari Tuhan, boleh menjadi
penyejuk mata manusia?
Sekadar lontaran buat kaum hawa. Ramai di antara anda mahu menjadi
isteri solehah suatu ketika nanti. Tetapi usaha ke arah itu masih lemah.
Perbaikilah dari sekarang. Bisikkan ke dalam hati anda setiap hari,
bahawa anda bakal menjadi penyejuk mata kepada seorang lelaki yang baik
suatu ketika nanti. Lelaki itu pula setiap masa mendoakan anda supaya
berjaya menjadi penyejuk mata mereka suatu masa nanti. Besar harapan
mereka, sanggupkah anda hancurkan begitu sahaja?
Jadi mulai hari ini, berusahalah untuk menjadi penyejuk mata suami.
Sebenarnya, andai anda mampu melaksanakan langkah pertama yang saya
sebut di atas ; iaitu memperbaiki hubungan anda dengan Allah, maka anda
sebenarnya telah berjaya melepasi separuh masa pertama piala kemenangan
untuk bergelar isteri solehah – penyejuk mata suami.
Justeru, selamat berjaya, wahai para penyejuk mata! =)
- Artikel iluvislam.com
Sumber : myilham.com
No comments:
Post a Comment